WEBINAR "FROM CLO TO QUESTION: STRATEGI PEMBINAAN ITEM PEPERIKSAAN AKHIR"
Pusat Kecemerlangan dan Pembangunan Akademik (PKPA), Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) telah menganjurkan Webinar “From CLO to Question: Strategi Pembinaan Item Peperiksaan Akhir” pada 22 Julai 2026 (Rabu) melalui platform Zoom Meeting.
Webinar selama dua jam ini telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Nurliyana Bukhari dari Pusat Pengajian Pendidikan, Universiti Utara Malaysia (UUM). Program ini dianjurkan sebagai medium perkongsian ilmu dan pengukuhan kompetensi pensyarah dalam menghasilkan item peperiksaan akhir yang berkualiti, seimbang serta selaras dengan hasil pembelajaran kursus (CLO).
Sesi perkongsian memberi fokus kepada strategi menterjemahkan CLO kepada pembinaan item pentaksiran yang bersesuaian dengan mengambil kira penjajaran antara item soalan, tahap kognitif dan domain pembelajaran yang ditetapkan.
Selain perkongsian konsep dan strategi pembinaan item, peserta turut berpeluang menyertai aktiviti hands-on yang dikendalikan oleh penceramah bagi mengaplikasikan kaedah pembinaan item peperiksaan secara praktikal. Aktiviti ini membantu peserta menilai kesesuaian aras soalan, memastikan penjajaran item dengan CLO serta menambah baik kualiti penulisan soalan yang dibangunkan.
Melalui pendekatan perkongsian dan latihan praktikal ini, peserta dapat meningkatkan kefahaman serta kemahiran dalam menghasilkan item pentaksiran yang boleh dipercayai dan berkesan dalam mengukur pencapaian pembelajaran pelajar.
Penganjuran webinar ini mencerminkan komitmen PKPA dalam menyokong pembangunan profesional pensyarah serta memperkukuh kualiti pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).