Terus ke kandungan utama
Laman Web Rasmi Universiti Malaysia Kelantan 09-779 7000

Media & Sorotan

Berita

Hebahan, aktiviti dan perkembangan terkini Pusat Kecemerlangan dan Pembangunan Akademik.

WEBINAR "DARI PRESTASI KE PENGIKTIRAFAN" KONGSI STRATEGI PENYEDIAAN DOKUMEN PENCALONAN AAN
20 July 2026 PKPA

WEBINAR "DARI PRESTASI KE PENGIKTIRAFAN" KONGSI STRATEGI PENYEDIAAN DOKUMEN PENCALONAN AAN

20 Julai 2026 – Pusat Kecemerlangan dan Pembangunan Akademik (PKPA), Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah menganjurkan webinar bertajuk "Dari Prestasi ke Pengiktirafan: Seni Menyediakan Dokumen Pencalonan AAN", yang berlangsung secara dalam talian menerusi platform Zoom Meeting.

Webinar ini bertujuan memberi pendedahan, panduan dan perkongsian amalan terbaik dalam penyediaan dokumen pencalonan Anugerah Akademik Negara (AAN) kepada calon-calon AAN Ke-17 serta warga akademik UMK yang berminat untuk memahami proses, keperluan dan kriteria penilaian AAN.

Sesi perkongsian telah disampaikan oleh YBrs. Ts. Dr. Mohamad Fitri bin Haris, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Universiti Utara Malaysia (UUM), yang juga merupakan Pemenang Anugerah Akademik Negara Ke-16 bagi Kategori Anugerah Seni dan Kreativiti (Kelompok Seni Persembahan). Beliau berkongsi pengalaman, strategi serta amalan terbaik dalam menghasilkan dokumen pencalonan yang berkualiti, berimpak dan menepati kehendak panel penilai berdasarkan pengalaman sebenar beliau sebagai penerima AAN.

Peserta turut berpeluang mengemukakan soalan serta mendapatkan pandangan secara langsung daripada penceramah mengenai cabaran dan pendekatan terbaik dalam menyediakan dokumen pencalonan yang kompetitif.

Melalui penganjuran webinar ini, PKPA berharap lebih ramai warga akademik UMK akan mendapat pendedahan awal mengenai proses pencalonan AAN serta terdorong untuk menyertai anugerah berprestij tersebut pada masa hadapan, sekali gus menyokong agenda kecemerlangan akademik universiti.